5 LOKASI POPULAR UNTUK MENGADAKAN MAJLIS PERKAHWINAN

Mungkin sekarang anda telah pun mempunyai tarikh yang sesuai untuk melangsungkan majlis pernikahan dan kenduri perkahwinan, jika tidak pun, sekurang-kurangnya beberapa tarikh yang berpotensi. Maka, untuk langkah seterusnya, adalah baik jika anda menetapkan pula lokasi majlis perkahwinan anda. Mulakan dengan meninjau beberapa pilihan lokasi yang diingini berserta dengan kos yang akan diperlukan.

Antara lokasi-lokasi popular yang sering dijadikan tempat untuk mengadakan majlis pernikahan adalah:

1. Rumah
Mengadakan majlis perkahwinan di rumah adalah lokasi pilihan yang paling popular. Selain menjimatkan kos, lokasi di rumah memudahkan kerja-kerja persediaan dan logistik majlis perkahwinan. Namun, sekiranya ingin dibuat di rumah, pastikan kawasan rumah anda adalah bersesuaian untuk diadakan majlis untuk ramai orang. Untuk melakukan sebarang aktiviti seperti nyanyian, persembahan dan sebagainya, sebaik-baiknya, minta kebenaran daripada jiran-jiran agar mereka tidak rasa terganggu dengan majlis perkahwinan anda. Minta juga kelulusan daripada majlis perbandaran tempatan jika terpaksa menutup jalan di sekitar kawasan rumah anda. Mengadakan majlis di rumah biasanya memerlukan anda menyewa kanopi, kerusi dan meja. Oleh itu, buatlah sedikit kajian untuk mencari pakej yang bersesuaian.

2. Dewan
Memilih dewan sebagai lokasi majlis perkahwinan adalah satu pilihan yang bijak. Untuk mencari dewan yang sesuai, bolehlah bertanya kepada majlis perbandaran di kawsan anda. Kadar sewa sesebuah dewan adalah berbeza-beza bergantung kepada saiz, lokasi dan kemudahan yang disediakan. Rancang dan senaraikan kelengkapan yang perlu dibawa ke dewan untuk melakukan persiapan majlis perkahwinan. Fikirkan juga susun atur meja dan kerusi, pelamin dan hiasan dalaman dewan tersebut. Kelebihan utama dewan adalah saiz dan kawasan meletak kereta yang membolehkan anda untuk menjemput ramai tetamu hadir ke majlis perkahwinan anda. Anda juga boleh mengelakkan kesesakan dan gangguan kepada jiran-jiran berbanding jika diadakan majlis perkahwinan di rumah.

3. Hotel
Untuk tampak mewah, majlis perkahwinan boleh diadakan di hotel. Kebiasaannya, caj yang dikenakan adalah mengikut jumlah tetamu yang datang. Kelebihan utama memilih hotel sebagai lokasi perkahwinan adalah dari segi kelengkapan majlis yang lengkap disediakan oleh pihak hotel. Begitu juga dengan hiasan meja  dan pelamin yang eksklusif, ditambah dengan hidangan makanan yang istimewa. Anda juga boleh meminta perkhidmatan tambahan seperti cenderamata untuk tetamu dan hiasan dewan mengikut tema tertentu. Namun, kehadiran tetamu di hotel adalah terhad. Maka, anda perlu menyenarai pendekkan dahulu nama-nama tetamu yang perlu hadir supaya tempat dan makanan adalah mencukupi. Di samping itu, anda mungkin perlu mengadakan satu majlis berasingan di lokasi lain untuk para tetamu yang tidak dapat dijemput ke hotel tempat majlis perkahwinan anda untuk menjaga hati mereka.

4. Taman
Di sesetengah tempat, terutamanya di bandar-bandar besar, ramai pasangan pengantin baru yang memilih taman sebagai lokasi majlis perkahwinan. Majlis boleh diadakan secara tertutup, iaitu terhad kepada beberapa orang tetamu, ataupun terbuka kepada semua. Sama seperti hotel, taman membuatkan majlis perkahwinan anda tampak mewah dan eksklusif. Tetapi, anda harus berhati-hati kerana lokasi di taman berdepan dengan risiko cuaca yang tidak menetu. Anda perlu menyediakan satu plan kecemasan jika cuaca tidak mengizinkan majlis diadakan di taman.

5. Masjid atau surau
Tidak salah untuk mengambil berkat dengan mengadakan majlis perkahwinan di masjid dan surau. Selain memudahkan kerja-kerja gotong-royong, sesetengah masjid menyediakan khidmat sewa kanopi, meja, kerusi dan pinggang-mangkuk untuk sesbuah majlis. Namun, beberapa perkara perlu dijaga. Antaranya, hendaklah menjaga aurat, batas pergaulan, jenis acara dan juga kebersihan. Berhati-hati juga agar tidak mengganggu waktu solat dan para jemaah yang hadir untuk bersolat. Dapatkan kebenaran dan nasihat daripada pihak pengurusan masjid terlebih dahulu sebelum mengadakan majlis di tempat tersebut.


Sumber : 
http://tipspersiapanmajlisperkahwinan.blogspot.com/

* Tempah pakej fotografi Perkahwinan anda segera. Sementara slot masih ada.
JURUGAMBAR KACAK - EIMIZA TAWFIQ (Call/Whatsapp 0135238194)
Read More

6 TIPS MENDAPAT HASIL GAMBAR PERKAHWINAN YANG MENARIK


Mengambil seorang jurugambar untuk merakamkan detik-detik indah majlis perkahwinan adalah antara perkara wajib yang perlu dilakukan oleh bakal pasangan pengantin. Amatlah rugi sekiranya tiada sekeping pun gambar diambil pada hari bahagia anda. Jadi, dalam persiapan majlis perkahwinan, janganlah lupa untuk mencari seorang jurugambar. Namun, kadang-kadang kos mengupah seorang jurugambar boleh mencecah sehingga ribuan ringgit. Adakah sepadan dengan hasil yang anda akan dapat? Untuk memastikan anda mendapat gambar perkahwinan yang setimpal dan menarik, beberapa tips yang berikut boleh dijadikan panduan:

1. Memilih jurugambar yang profesional
Lihat hasil kerja yang dilakukan oleh jurugambar yang akan anda bayar. Dapatkan seberapa banyak maklumat yang mungkin berkenaan pakej yang ditawarkan. Berbincanglah dengan jurugambar berkenaan kehendak anda. Seorang jurugambar yang profesional sudah semestinya akan memberikan idea-idea yang menarik untuk anda. Dia juga mesti pandai merancang dan tahu tugas-tugas yang perlu dilakukan. Semasa sesi perjumpaan dengan jurugambar, perkara-perkara inilah yang perlu anda ambil tahu untuk menentukan seorang jurugambar itu profesional ataupun tidak.

2. Rancang aturcara majlis perkahwinan
Dalam merancang aturcara majlis perkahwinan, pastikan setiap acara diberi waktu yang secukupnya supaya tidak berterabur dan tergesa-gesa. Dapatkan bantuan dan tenaga kerja yang mencukupi. Maklumkan kepada jurugambar tentang aturcara yang dirancang. Sebaik-baiknya, berikan satu salinan aturcara majlis. Tugaskan seseorang untuk membantu jurugambar dan memperincikan lokasi setiap acara. Dengan ini, jurugambar dapat merancang posisi-posisi dan sudut-sudut yang menarik untuk mengambil gambar perkahwinan anda.

3. Rehat yang cukup
Menjelang hari majlis perkahwinan, pastikan yang bakal pengantin mendapat rehat yang secukupnya. Agihkan kerja-kerja kepada yang lain. Ini untuk memastikan bakal pengantin kelihatan segar dan berseri. Gambar yang diambil sudah semestinya kelihatan cantik.

4. Ambil gambar dahulu
Selesai sahaja disolek, sebaik-baiknya ambil dulu beberapa keping gambar portrait. Waktu selepas disolek adalah waktu terbaik untuk mengambil gambar. Luangkan sedikit masa untuk jurugambar anda mengambil gambar. Jika diambil lewat, dibimbangi pengantin akan keletihan dan solekan telah cair atau kusam. Hasilnya, gambar sudah semestinya nampak tidak menarik.

5. Berlatih untuk senyum dan bergaya
Sebelum majlis perkahwinan, berlatihlah di depan cermin untuk senyum dan bergaya (posing). Jangan nanti pada hari majlis perkahwinan, anda kelihatan masam dan kaku. Ini akan mencacatkan gambar perkahwinan anda.

6. Bersabar menanti gambar disiapkan
Selepas habis majlis perkahwinan, biasanya jurugambar memerlukan masa satu ke dua minggu untuk menyiapkan gambar anda. Bersabarlah dan beri peluang jurugambar anda menyiapkan semuanya. Usah didesak dan ditekan untuk menyiapkan semuanya dengan cepat. Dibimbangi nanti jurugambar anda tergesa-gesa dan hasilnya gambar perkahwinan yang kabur, gelap dan tidak menarik.

Sumber : http://tipspersiapanmajlisperkahwinan.blogspot.com/

* Tempah pakej fotografi Perkahwinan anda segera. Sementara slot masih ada.
JURUGAMBAR KACAK - EIMIZA TAWFIQ (Call/Whatsapp 0135238194)
Read More